Rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka sehingga 31 Mei 2020

| |

Sharing is caring!

Berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), seramai 8.3 juta penerima telah diluluskan untuk fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dengan jumlah peruntukan RM9.3 bilion.

Sistem BPN telah dibuka untuk tujuan permohonan baharu dan rayuan daripada 1 hingga 30 April 2020 bagi mereka yang tiada dalam pangkalan data BSH dan percukaian.

Sejumlah 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 bilion. Kelulusan dibuat berdasarkan semakan silang dengan pangkalan data yang terkini daripada sepuluh (10) agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Untuk memastikan hanya mereka yang betul-betul layak sahaja menerima BPN semakan data telah dibuat dengan amat teliti. Semakan ini juga bertujuan untuk mengelak sebarang penipuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan telah mendapati terdapat banyak rungutan terutamanya melalui media sosial daripada mereka yang telah ditolak permohonannya. Antara sebab utama permohonan ditolak adalah kerana pemohon mempunyai pendapatan yang melebihi syarat BPN. Pelbagai sebab lain termasuk tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur, status pelajar sepenuh masa dan lain-lain. Contohnya, terdapat 240,465 permohonan diterima daripada pelajar sepenuh masa sedangkan mereka tidak layak mendapat BPN, kerana telah layak mendapat RM200 menerusi bantuan pelajar institusi pengajian tinggi secara one-off.

Kerajaan juga menerima aduan antara permohonan yang ditolak adalah daripada pemohon yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan yang ketara baru-baru ini.

Justeru, pemohon boleh membuat rayuan untuk pertimbangan semula dengan mengemukakan dokumen sokongan yang membuktikan kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan. Rayuan boleh dibuat melalui e-mel kepada LHDNM (rayuanbpn@hasil.gov.my) atau hadir di mana-mana pejabat LHDNM.

Bagi permohonan yang ditolak atas alasan lain, termasuk pemohon/pasangan mempunyai syarikat yang berdaftar dengan SSM, pemohon juga boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jumlah pendapatan terkini.

Tempoh permohonan rayuan bagi BPN akan dilanjutkan sehingga 31 Mei 2020 manakala pejabat LHDNM akan dibuka bermula 11 Mei 2020 atau 12 Mei 2020 (berdasarkan hari bekerja di setiap negeri) bagi menerima rayuan tersebut. Rayuan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi memastikan mereka yang menepati syarat BPN akan menerima bantuan tersebut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan BPN dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://bpn.hasil.gov.my.

Sumber : LHDN

Nak baca soalan lazim mengenai Permohonan Baharu dan Rayuan Bantuan Prihatin Nasional(BPN)?

Klik SINI

Previous

Bank Islam turunkan Kadar Asas kepada 2.77% dan Kadar Pembiayaan Asas kepada 5.72% bermula 12 Mei 2020

Soalan lazim mengenai Permohonan Baharu dan Rayuan Bantuan Prihatin Nasional(BPN)

Next

Leave a Comment