Pengguna boleh nikmati pass perjalanan My30 bermula 15 Jun 2020

| |

Sharing is caring!

Dalam perutusan Khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin, beliau ada menyatakan tentang pelaksanaan My30 – Pas perjalanan bulanan tanpa had. Pas ini merupakan pas perjalanan bernilai RM30 menggunakan pengangkutan awam.

Nak tahu lebih lanjut? Jom baca maklumat yang Min dapat daripada Myrapid ni.

Dengan harga sekeping roti canai atau seringgit, warga kota boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana tanpa had untuk satu hari – demikian penerangan mudah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias mengenai kehebatan kad perjalanan tanpa had My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had RM30 untuk tempoh 30 hari dan bakal bermula pada Isnin ini.

Encik Muhammad Nizam berkata berkata pakej My30, yang menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100 dan My50, adalah inisiatif yang cukup bijaksana daripada Kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara, yang amat terkesan daripada penularan wabak Covid-19.

“Bayangkan dengan harga sekeping roti canai atau RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, monorail, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang alik dan tanpa had dalam masa satu hari dengan menggunakan My30. Ia sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,”

– katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.


Mengumumkan Program Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek PENJANA pada 5 Jun lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif My30 yang menyediakan kemudahan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan kendalian Kumpulan Prasarana dengan hanya RM30 untuk tempoh 30 hari. Pakej istimewa ini laku untuk tempoh enam bulan daripada 15 Jun sehingga akhir Disember; sekali gus menggantikan sementara pakej My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.

Terbuka eksklusif untuk rakyat Malaysia, para pengguna boleh mula mendaftar untu pakej baru My30 ini mulai Isnin ini (15 Jun) di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan 5 hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.


“Pihak pengurusan Kumpulan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat. Dalam mengharungi situasi yang mencabar pada ketika ini, kami berharap agar pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaiknya dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL. Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021,”

– tambah beliau

Sementara pakej My100, yang diperkenalkan pada 1 Januari 2019, memberi kelebihan untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan LRT, MRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT, pakej My50, yang berharga RM50, adalah untuk penggunaan tanpa had bas henti-henti Rapid KL selama 30 hari.

“Nyata, pakej My30 menawarkan penjimatan yang jauh lebih hebat. Dan, dengan peningkatan dalam mobiliti dan produktiviti untuk rakyat melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, ini tentunya akan membantu menjana ekonomi domestik negara dan memberikan impak yang positif dalam usaha pemulihan ekonomi negara,”

– kata Encik Muhammad Nizam.

Beliau turut mengambil kesempatan daripada siaran berkenaan untuk mengulangi nasihat kepada semua para pengguna pengangkutan awam untuk sentiasa mematuhi etika dalam norma baharu penggunaan pengangkutan awam khususnya pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

“Ini adalah amat penting bagi mencegah penularan wabak COVID-19, yang masih berisiko. Kita mesti terus bertindak memutus penularan wabak koronavirus ini dan memastikan kita menang dalam perjuangan ini,”

– tambah Encik Muhammad Nizam.


Pengguna Rapid KL boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau hab bas. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

Previous

Hati-hati dengan tawaran pelaburan palsu menggunakan nama dan logo ASNB

Kemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) 2019 selewat-lewatnya 30 Jun

Next

Leave a Comment