Kadar OPR dikekalkan pada 1.75 peratus

| |

Sharing is caring!

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Ekonomi global terus pulih dengan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik COVID-19 oleh lebih banyak ekonomi dan sokongan dasar yang kukuh. Pembukaan kembali kemudahan pengeluaran telah menyebabkan penyambungan semula aktiviti perkilangan dan perdagangan. Walau bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan adalah lebih perlahan.

Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko masih tinggi. Prospek pertumbuhan masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah dan ketidakpastian, disebabkan terutamanya oleh risiko penularan semula pandemik dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah.

Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi terus pulih daripada paras terendah pada bulan April tahun ini. Penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.

Pakej rangsangan fiskal turut menyokong pemulihan ekonomi, di samping langkah-langkah monetari dan kewangan. Peningkatan ini dijangka berterusan pada tahun 2021, disokong oleh pemulihan permintaan luar negeri dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta.

Walau bagaimanapun, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja. Prospek pertumbuhan ini adalah tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan pandemik pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Tekanan inflasi dijangka terus sederhana pada tahun 2020. Purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah, dan berpurata lebih tinggi pada tahun 2021. Kedua-dua purata tersebut berada dalam lingkungan unjuran sebelum ini.

Walau bagaimanapun, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas dijangka rendah dalam keadaan kapasiti ekonomi yang berlebihan.

Pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi. Berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Bank Negara Malaysia
10 Sep 2020

Previous

OCBC bank turunkan kadar BR, BLR dan BFR bermula 13 Julai ini

Leave a Comment