Bank-Bank Malaysia Beralih ke Aplikasi Kesejahteraan Kewangan untuk Bersaing dengan Bank Digital

Sharing is caring!

  • Para pengguna di Malaysia dikategorikan sebagai golongan yang paling ‘tertekan’ (66%) dan yang paling ‘bersedia’ (52%) di rantau ini apabila disoal mengenai situasi kewangan semasa mereka
  • 74% bank Malaysia di APAC memberi indikasi bahawa kekurangan pemahaman mengenai keperluan pengguna merupakan cabaran utama dalam pembangunan alatan pengurusan wang digital
  • 53% pengguna Malaysia menyatakan bahawa mereka berminat untuk dibekalkan alat-alat literasi kewangan daripada bank utama mereka

6 Oktober 2021, Kuala Lumpur, Malaysia: Pelbagai aktiviti semakin menular dalam kalangan bank-bank digital yang percaya bahawa alatan digital bagi pengurusan wang dan kesejahteraan kewangan sedang berkembang pesat dari segi pasarannya dalam Era Perbankan Seranta (Engagement Banking Era).

Kajian Backbase yang ditugaskan kepada Forrester Consulting mendapati bahawa 64% daripada para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia menyatakan syarikat mereka sedang meningkatkan perbelanjaan ke atas inisiatif-inisiatif kesejahteraan kewangan digital – iaitu peratusan yang tertinggi di rantau Asia Pasifik (APAC); lebih tinggi daripada Singapura, Jepun, dan Australia.

Perkembangan ini menyusuli aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang kini telah ditutup. Bank Negara sedang membuat penilaian untuk memilih lima pemohon yang layak mendapat lesen berkenaan pada penggal pertama tahun 2022. Oleh yang demikian, sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baharu buat para pelanggan.

Naib Presiden Serantau di Asia Pasifik bagi Backbase, Iman Ghodosi telah berkongsi, “Jendela peluang bagi syarikat bank untuk membangunkan khidmat digital mereka sendiri masih terbuka pada saat ini, dan laporan yang terkini telah merungkaikan bahawa warga Malaysia sedang mendahagakan perkhidmatan seumpamanya. Sebagai contoh, 67% pengguna yang telah ditinjau menyatakan bahawa mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank mereka, 87% menyatakan mereka menghargai aplikasi mudah alih yang mantap daripada pembekal perkhidmatan kewangan, dan 82% menjalankan aktiviti perbankan harian mereka melalui telefon pintar.”

Sektor perbankan runcit di Malaysia sedang menangani permintaan pengguna masa kini dan memastikan bank masih mampu bersaing di pentas digital dengan anggota-anggota yang baharu. Menurut para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit yang telah ditemu bual;

  • 90% menyatakan mereka sedang merancang untuk atau sedang mengembangkan alatan pengurusan wang digital mereka secara aktif
  • 88% telah merungkaikan bahawa mereka sedang merancang untuk atau sedang mengembangkan alatan pengurusan wang digital serta alatan kesejahteraan kewangan mereka secara aktif, dengan hampir separuh daripada mereka menyatakan bahawa ia adalah benar-benar mustahak 

Bank digital akan mensasarkan pelanggan anda

En. Ghodosi percaya bahawa tempoh enam bulan yang akan datang merupakan detik yang kritikal dalam arena perbankan digital.


“Aspek kesegeraan dan fokus yang melatarinya adalah jelas – Malaysia akan ditandangi oleh lima bank digital yang bakal mengubah landskap perbankan serta mengambil alih pegangan pasaran pada tahun hadapan, dan bank-bank konvensional sedang dibelenggu dengan kenyataan ini,” ujar beliau.

“Rakyat Malaysia memahukan kualiti khidmat pelanggan dan fleksibiliti yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan yang mereka gunakan. Mereka ingin mengakses kewangan peribadi mereka pada bila-bila masa, di mana-mana jua, menerusi pelbagai saluran, dan dibekalkan dengan alatan yang asas untuk menguruskannya. Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika mereka gagal menginovasi dalam kadar segera.”

“Detik ini amat mustahak bagi syarikat bank untuk mengutuhkan hubungan mereka dengan para pelanggan. Kita telah menginjak ke Era Perbankan Seranta, iaitu sebuah evolusi yang menunjukkan betapa pentingnya platform yang bersepadu bagi kegiatan perbankan. Keutamaan tertinggi dalam era baharu ini adalah untuk merangka semula sistem bank yang sedia ada agar ia berpaksikan pengguna masa kini, justeru mengalihkan tumpuan daripada pelaburan ke dalam teknologi-teknologi yang tersisih antara satu sama lain.”

Bagaimanapun, kemajuan yang ingin dikecapi semestinya dibatasi dengan pelbagai jenis cabaran, dan cabaran yang dihadapi oleh bank-bank Malaysia adalah antara yang terbesar di rantau APAC. Daripada golongan pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit di Malaysia yang telah ditemu bual;

  • 74% menyatakan bahawa kekurangan pemahaman mengenai keperluan pelanggan masa kini dan hasil yang ingin dikecapi menjadi halangan bagi syarikat mereka untuk melaksanakan atau melanjutkan lagi pembangunan alatan pengurusan wang digital
  • 66% menyatakan bahawa teknologi legasi yang sudah ditelan zaman membatasi pelan mereka
  • 64% menyatakan bahawa kewujudan pelbagai cabang organisasi yang terasing menyukarkan lagi keadaan

“Sektor perbankan di seluruh dunia perlu berhadapan dengan cabaran, namun apa yang menghairankan ialah cabaran yang dihadapi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada purata,” ujar En. Ghodosi.

“Terdapat juga wujud tahap pemahaman yang rendah dalam kalangan institusi legasi di Malaysia mengenai jabatan mana yang sepatutnya membelanjakan bajetnya bagi inisiatif-inisiatif seperti ini. Adakah ia dikategorikan sebagai pengalaman pelanggan? Adakah ia strategi korporat? Atau adakah ia pemasaran? Walhal ia adalah ketiga-ketiganya sekali, malah lebih lagi daripada itu.”

Literasi kewangan & kepentingan golongan rentan

Antara dorongan terbesar untuk meningkatkan saluran dana ke arah inisiatif literasi kewangan bukannya bersandarkan kepada keuntungan, sebaliknya ia adalah untuk menjaga dan melindungi kebajikan pelanggan. Menerusi saluran-saluran interaksi pelanggan yang baharu ini, bank kini boleh menunaikan keperluan pelanggan yang mereka tidak dapat lakukan sebelum ini, yakni dengan memanfaatkan analitik data, AI, dan teknologi mudah alih untuk memberikan saranan mengenai perihal kewangan di samping menaik taraf aspek serantaan buat para pengguna.

Keyakinan orang ramai terhadap bank konvensional di Malaysia adalah jauh lebih tinggi berbanding bank digital, dan inisiatif seperti ini bermatlamat untuk menaikkan reputasi mereka.

Sebagai contoh;

  • 64% daripada pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit yang telah ditemu bual menyatakan bahawa pencegahan eksploitasi golongan pelanggan rentan dan yang lebih berusia tercakup dalam rancangan pembangunan alatan digital mereka
  • 62% telah merungkaikan bahawa mereka telah merancang untuk membantu pelanggan membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat
  • Dan 66% ingin menawarkan alatan literasi kewangan

Fungsi-fungsi tambahan yang akan didatangkan dengan aplikasi digital dan serantaan pelanggan ini termasuk analisis perbelanjaan, penjadualan bayaran bil, bayaran pendahuluan dan pelancaran aliran pendapatan, penjimatan automatik, serta alat perancangan persaraan.

“Bank dapat menawarkan nilai yang tinggi menerusi perkhidmatan digital yang serba lengkap ini, dan pada masa yang sama, berpeluang untuk mengumpul pelbagai data yang penting daripada pengguna,” jelas En. Ghodosi.

Tambah beliau, “Kajian kami menunjukkan bahawa aplikasi pengurusan wang digital merupakan sebuah titian yang utama antara institusi dan pelanggan mereka pada masa kini. Keperluan pengguna dan sentimen industri ini memperlihatkan bahawa kita baru sahaja berada di garisan permulaan.”

“Saingan akan menjadi lebih sengit di Malaysia dan ia bermakna golongan yang paling penting, iaitu pengguna, dapat menikmati manfaatnya dalam jangka panjang. Faktor masa dan daya pasaran akan menentukan siapa yang akan menjadi pemenang dalam persaingan untuk merapatkan hubungan dengan pelanggan dalam sektor perbankan.”

-TAMAT-

Tentang Backbase:

Backbase bermatlamat untuk mentransformasikan sistem perbankan yang pincang, agar institusi kewangan bukan lagi berinteraksi sahaja, malah turut menyeranta dengan para pelanggan mereka.

Ia dimungkinkan oleh Backbase Engagement Banking Platform yang memperkasakan segala segmen perniagaan dalam sebuah platform, termasuk Peruncitan, PKS & Korporat, dan Pengurusan Kekayaan. Dari kegiatan jualan digital hingga ke perbankan harian, platform ini digubah untuk menzahirkan sebuah pengalaman yang sempurna lagi menarik bagi para pelanggan serta kakitangan.

Penganalisis industri, Ovum dan Celent terus mengiktiraf kedudukan Backbase sebagai peneraju, dan lebih daripada 120 buah institusi kewangan besar di dunia dikuasakan oleh Backbase Engagement Banking Platform dan ia termasuk AIB, Barclays, Banamex, Bank of the Philippine Islands, BNP Paribas, Bremer Bank, Citibank, Citizens Bank, CheBanca!, Discovery Bank, Greater Bank, HDFC, IDFC First, KeyBank, Lloyds Banking Group, Metrobank, Navy Federal Credit Union, PostFinance, RBC, Société Générale, TPBank, Vantage Bank Texas, Westpac, dan Wildfire Credit Union.

www.backbase.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *