Bank Islam turunkan Kadar Asas kepada 2.77% dan Kadar Pembiayaan Asas kepada 5.72% bermula 12 Mei 2020

| |

Sharing is caring!

Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) menyemak semula Kadar Asas (“BR”) sebanyak 50 mata asas, iaitu daripada 3.27% kepada 2.77%, sementara Kadar Pembiayaan Asas (“BFR”) disemak semula daripada 6.22% kepada 5.72%.

Pada masa yang sama, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 50 mata asas. Semua perubahan kadar berkuat kuasa 12 Mei 2020.

Keputusan ini adalah sejajar dengan langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (“OPR”) sebanyak 50 mata asas oleh Bank Negara Malaysia iaitu daripada 2.50% kepada 2.00%.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata,

“Bank Islam akan menyusun strategi untuk mengimbangi portfolio pembiayaan Bank supaya kos dapat diurus dengan lebih berkesan. Seterusnya, ini akan membantu mengurangkan tekanan margin pendapatan bersih (NIM). Walaupun penurunan OPR ini akan memberi kesan pada pendapatan Bank, keputusan yang kami buat adalah untuk kepentingan pelanggan. Bank Islam akan terus membantu masyarakat pada masa yang sukar ini dan terus menyokong ekonomi untuk kembali normal.”

“Kami telahpun menjangka penurunan ini dan bersedia untuk segala kemungkinan yang timbul ekoran penurunan OPR ini dengan terus memberi fokus mempelbagaikan aliran pendapatan Bank, terutamanya dalam segmen pendapatan berasaskan fi. Selain terus bertahan dan berwaspada, Bank telah menerapkan strategi untuk bergerak maju dalam waktu yang mencabar ini. Kami akan memanfaatkan kemajuan teknologi, dan melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan untuk memacu kecekapan operasi, memberi sokongan tambahan kepada keuntungan jangka panjang dan daya maju keseluruhan. Kami sedar usaha ini adalah satu ‘norma baharu’ dan akan berusaha mengoptimumkan nilai dan sumber ke arah kelestarian dan kesejahteraan pelanggan, pemegang kepentingan dan juga Bank,” tambah Mohd Muazzam.

Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 6 Mac 2020, iaitu daripada 3.52% kepada 3.27%, manakala BFR diturunkan daripada 6.47% kepada 6.22%.

Untuk makluman lanjut, sila layari www.bankislam.com

BERNAMA

Previous

Hong Leong Bank turunkan kadar asas dan Kadar Asas Islam mulai 12 Mei 2020

Rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka sehingga 31 Mei 2020

Next

Leave a Comment