ASNB umumkan pengagihan pendapatan 4.75 sen seunit bagi ASB 2

| |

Sharing is caring!

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan untuk lima dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020. Ini merangkumi dua dana harga tetap, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), serta tiga dana harga berubah, iaitu ASN Equity 3, ASN Imbang 2 and ASN Sara 1.

Dana Harga Tetap ASNB

Prestasi ASB 2 dan ASM ditanda aras berbanding Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020, ASB 2 dan ASM telah mengatasi penanda aras Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank, di mana jumlah pulangan tahunan bagi dana-dana tersebut telah dicatatkan pada kadar pengagihan masing-masing sebanyak 4.75% dan 4.25%, berbanding kadar pulangan 2.60% yang telah dicatatkan oleh Simpanan Tetap 12- Bulan Maybank.

ASNB mengisytiharkan pengagihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen seunit kepada 439,543 pemegang unit dan 4.25 sen seunit kepada 553,188 pemegang unit ASM, dengan jumlah pembayaran pendapatan mencecah hampir RM1.4 bilion bagi kedua-dua dana tersebut. Setakat 29 Februari 2020, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta.

Dana Harga Berubah ASNB

ASNB turut mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit kepada 89,327 pemegang unit ASN Equity 3, 3.50 sen seunit kepada 86,426 pemegang unit ASN Imbang 2 dan 4.55 sen seunit kepada 69,872 pemegang unit ASN Sara 1, dengan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana berjumlah RM228.7 juta.

Jumlah pulangan bagi ketiga-tiga dana telah ditanda aras berbanding FBM 100 dan Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank, pada nisbah yang ditetapkan untuk setiap dana.

Pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana tersebut diperolehi daripada keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

Selari dengan penanda aras yang telah ditetapkan, PNB sentiasa mengekalkan strategi peruntukan aset berhemah dan pegangan saham yang besar di pasaran awam memastikan PNB mempunyai tahap kecairan pelaburan yang diperlukan untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

Di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang tahun 2019, portfolio dana PNB telah kekal kukuh secara relatif, berbanding penanda aras masing-masing, yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh, serta langkah yang telah diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio.

Pengiraan Pengagihan Pendapatan

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana, manakala pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 adalah berdasarkan baki minimum bulanan yang dipegang pada hujung tahun.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh setiap dana akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam setiap akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik kepada akaun pemegang unit pada 1 April 2020.

Urus niaga bagi lima dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 sehingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pejabat cawangan ASNB tidak beroperasi buat masa ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pemegang unit masih boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB.

Pemegang unit juga boleh berkunjung ke cawangan ejen ASNB apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2020. Pemegang unit dinasihatkan untuk menyemak waktu operasi bank-bank ejen sepanjang tempoh PKP.

Previous

Public Bank tawarkan penangguhan bayaran pembiayaan automatik selama 6 bulan

Skim takaful MySalam – Skim perlindungan kesihatan percuma untuk yang layak

Next

Leave a Comment