ASNB lancar pendaftaran akaun dalam talian berasaskan e-KYC dan kempen #JomLabur

Sharing is caring!

Warga Malaysia kini boleh membuka akaun, menetapkan matlamat pelaburan, dan melabur pada bila-bila masa melalui aplikasi myASNB, serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2021 – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan pelancaran kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan onboarding pelanggan digital (e-KYC1 ), serta fungsi pelaburan yang berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB (aplikasi).

Seiring dengan penambahbaikan aplikasi ini, ASNB juga telah melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga hujung tahun ini. Kempen ini menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM200,000.

Ciri onboarding mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB. Para pelanggan ASNB sedia ada juga kini boleh membuka akaun atau mengemas kini butiran peribadi secara terus di portal dan aplikasi mudah alih myASNB. Ini membolehkan mereka untuk memulakan pelaburan dari keselesaan rumah sendiri.

Sementara itu, fungsi pelaburan baharu yang berasaskan matlamat, Target Labur, telah direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan anak-anak. Selain daripada matlamat pelaburan yang telah ditetapkan, pemegang unit juga boleh menetapkan matlamat pelaburan mereka sendiri.

Fungsi Target Labur dilancarkan kepada pemegang unit secara berperingkat pada 8 Oktober 2021, bermula dengan kumpulan umur 18-34 tahun dan untuk semua pengguna aplikasi myASNB bermula pada 29 Oktober 2021. Pengguna aplikasi myASNB sedia ada dinasihatkan mengemas kini aplikasi agar dapat menggunakan fungsi baharu ini.

Sejajar dengan ciri-ciri baharu ini, ASNB melancarkan kempen #JomLabur untuk memberi ganjaran kepada pemegang unit yang menetapkan sekurang-kurangnya dua matlamat yang bernilai RM5,000 setiap satu. Kempen yang berlangsung dari 8 Oktober hingga 31 Disember 2021, disokong oleh Kumpulan UMW, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Jirnexu Sdn Bhd (syarikat induk RinggitPlus.com) dan GrabCar Sdn Bhd.

Pemegang unit yang menetapkan dua matlamat dengan jumlah sasaran sekurang-kurangnya RM5,000 setiap satu akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah seperti sebuah Toyota Vios, sebuah Toyota Yaris, dua buah iPhone 12, tiga buah iPad, 30 pas akses RinggitPlus Financial Planner, atau 200 baucar GrabFood.

Penambahbaikan terhadap aplikasi myASNB ini bertujuan untuk melancarkan dan memudahkan aktiviti pelaburan semua warga Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kewangan mereka. Usaha ini adalah sebahagian daripada Strategi Pendigitalan ASNB. 

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Penambahbaikan aplikasi mudah alih myASNB ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk terus menyampaikan inovasi kepada pemegang unit. Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara terus melalui telefon mudah alih mereka. Dengan kempen #JomLabur, kami menyediakan ciri-ciri yang memudahkan para pemegang unit mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelaburan yang tetap dan konsisten .” 

Ahmad Zulqarnain menambah,

“PNB gembira dapat berkolaborasi dengan rakan-rakan kempen kami iaitu UMW, PayNet, RinggitPlus dan Grab, dan kami berterima kasih atas sokongan mereka menaja hadiah-hadiah untuk #JomLabur dalam bentuk tunai dan juga barangan. Kami berharap akan dapat menjalin kerjasama yang serupa pada masa hadapan demi manfaat semua warga Malaysia.” 

Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Penaja Platinum kempen #JomLabur, berkata

“Seiring dengan komitmen kami untuk membantu usaha mempromosi pendidikan pelaburan kepada masyarakat, kami amat berbesar hati dapat menyokong ASNB dalam usaha menggalak warga Malaysia melabur demi masa hadapan mereka. Kami mengucapkan tahniah kepada ASNB atas penampilan ciri-ciri baharu yang akan dapat membantu para pelabur mencapai objektif pelaburan mereka.” 

Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Penaja Emas kempen #JomLabur berkata,

“Kami berbesar hati dapat bergandingan dengan PNB dalam usaha mendigitalisasi pelaburan dengan penggunaan FPX untuk membuat pelaburan dalam unit amanah ASNB menerusi aplikasi myASNB. Memandangkan Malaysia mempunyai populasi pengguna sistem perbankan yang tinggi, ketersediaan FPX sebagai pilihan pembayaran untuk myASNB sangat bermanfaat dan menjimatkan kos untuk membantu rakyat di kawasan bandar serta luar bandar melabur demi masa hadapan mereka. Ini selaras dengan visi kami untuk memperkasakan ekonomi digital Malaysia.”

Aplikasi mudah alih myASNB tersedia untuk pengguna sistem iOS, Android dan Huawei. 

1e-KYC (Electronic Know-Your-Customer) ialah satu penyelesaian yang membolehkan institusi-institusi kewangan mengesahkan identiti pelanggan dan onboarding pelanggan dalam talian, lantas dapat mengurangkan keperluan untuk interaksi sesama manusia. Ciri e-KYC dalam aplikasi myASNB ini telah dibangunkan sejajar dengan keperluan yang dinyatakan dalam dokumen dasar eKYC Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan pada 30 Jun 2020. 

Untuk Maklumat Lanjut Pendaftaran Akaun ASNB Dalam Talian (e-KYC Mudah Alih) 

Laman Web pendaftaran akaun ASNB

Video tutorial pendaftaran akaun ASNB (e-KYC)

Target Labur (Pelaburan Berasaskan Matlamat) 

Laman web Target Labur

Video tutorial Target Labur

Terma & Syarat #JomLabur

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan kewangan dan pelaburan? Jom join channel telegram rasmi kami.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *