Apa yang anda kena tahu tentang pentadbiran harta pusaka? (Part 2)

| |

Sharing is caring!

Dalam artikel sebelum ini, Min ada kongsikan 11 soalan biasa tentang pentadbiran harta pusaka.

Antara kepentingan untuk kita tahu tentang pentadbiran harta pusaka ini adalah untuk menyediakan pelan harta pusaka atau dokumen wasiat semasa kita masih ada.

Selain itu, ia untuk memudahkan pengurusan harta pusaka, jimatkan masa dan juga kurangkan kos.

Jadi untuk artikel kali ni, Min akan kongsikan 9 soalan terakhir tentang pentadbiran harta pusaka yang Min baca di Amanah Raya ini.

Jemput baca sampai habis.

Soalan #12 : Siapakah yang boleh mewarisi Harta Pusaka simati?

Penentuan waris-waris akan dilakukan selepas simati meninggal dunia.

Sekiranya simati adalah seorang Islam, waris-waris yang berhak ialah sebagaimana ditetapkan di bawah Faraid seperti bapa, ibu, isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya.

Bagi simati yang bukan beragama Islam, waris-waris yang berhak adalah sebagaimana dinyatakan di bawah Akta Pembahagian 1958 iaitu seperti ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak dan zuriat / keturunan (issues) dan selainnya.

Soalan #13 : Siapakah yang berhak ke atas Harta Pusaka simati sekiranya simati tidak mempunyai waris?

Bagi yang bukan beragama Islam, Akta Pembahagian 1958 memperuntukkan bahawa Kerajaan berhak ke atas harta tersebut.

Bagi yang beragama Islam pula, harta tersebut disalurkan kepada Baitul-Mal.

Soalan #14 : Sekiranya waris-waris bersetuju untuk membuat pembahagian harta secara sama rata, bolehkah Sijil Faraid dikecualikan?

Sijil Faraid boleh dikecualikan sekiranya jumlah keseluruhan harta pusaka yang terdiri daripada harta alih sahaja adalah kurang dari RM100,000.00 dengan 1 lapisan waris sahaja.

Sekiranya jumlah harta pusaka adalah melebihi RM100,000.00 dan/atau terdiri dari harta tak alih maka Sijil Faraid adalah mandatori.

Soalan #15 : Bolehkah pembahagian harta pusaka tidak mengikut Faraid atau Akta Pembahagian 1958?

Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan sekiranya kesemua waris yang berhak bersetuju.

Soalan #16 : Apakah tindakan AmanahRaya apabila terdapat waris yang tidak dapat dikesan di dalam senarai waris pusaka ketika harta pusaka tersebut sedang ditadbir oleh AmanahRaya? Ke manakah wang tersebut akan disalurkan?

Pentadbiran harta pusaka akan dilaksanakan seperti biasa tetapi bahagian waris yang tidak dapat dikesan akan disimpan di AmanahRaya secara amanah sehingga tuntutan yang sah dibuat oleh waris tersebut.

Soalan #17 : Bagaimanakah AmanahRaya mengesan waris simati yang tidak dapat dikesan?

AmanahRaya akan membuat semakan menggunakan Agency Link-Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan maklumat terkini tentang waris simati yang tidak dapat dikesan.

Soalan #18 : Bolehkah saya menyemak harta yang ditinggalkan oleh simati di AmanahRaya?

Semakan senarai harta kepunyaan simati di AmanahRaya hanya boleh dilakukan oleh waris sahaja dan maklumat adalah terhad kepada aset yang ditadbir oleh AmanahRaya.

Soalan #19 : Adakah waris boleh memohon pengeluaran sebahagian tunai harta pusaka bagi tujuan sara hidup semasa pentadbiran masih dijalankan?

Ya, waris boleh memohon untuk pengeluaran tunai dan permohonan akan dibenarkan bergantung kepada penyelesaian liabiliti terlebih dahulu.

Soalan #20 : Bagaimana pentadbiran bagi aset rumah / tanah yang masih berhutang / digadaikan ditadbir?

Memandangkan simati masih berhutang dengan pihak bank, maka proses pindahmilik aset rumah / tanah kepada waris tidak boleh dilakukan melainkan hutang tersebut diselesaikan.

Setelah Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan, pentadbir akan menyelesaikan baki hutang terlebih dahulu melalui aset pusaka simati yang lain yang mempunyai nilai untuk membayar hutang tersebut.

Sekiranya hutang / pinjaman ke atas aset tersebut dilindungi oleh Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) / Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT), maka ianya akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tersebut tertakluk kepada jumlah perlindungan yang diberikan.

Sekiranya, aset simati/MRTA/MRTT tidak mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan hutang tersebut, pemiutang / pemegang gadaian mempunyai hak untuk menghalang tebus (foreclose) / melelong aset tersebut.

Hasil lelongan setelah ditolak jumlah terhutang simati (jika ada) akan diserahkan kepada Pentadbir untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.

Korang dah faham dah tentang pentadbiran harta pusaka ni?

Semoga perkongsian ni memberi pencerahan sedikit sebanyak kepada korang.

Sementara kita masih ada, uruskan harta yang kita ada dengan baik.

Ilmu ni bermanfaat? Silakan SHARE dekat keluarga dan kawan – kawan korang.

Previous

Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) – Skim khas untuk golongan berpendapatan rendah

Tiga (3) khairat kematian percuma yang korang perlu tahu 

Next

Leave a Comment